Sunday, April 12, 2009

TAJUK
CERITAKAN TENTANG TUGAS GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING DAN
PERANAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING DALAM MENANGANI MASALAH DISIPLIN PELAJAR DI SEKOLAH



PELAJAR:
ROSLAN BIN AHMAD FUAD
TUGASAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Kementerian Pelajaran Malaysia (1984) telah menggariskan prinsip-prinsip bimbingan dan kaunseling yang sesuai digunakan di Malaysia seperti berikut:-
1. Bimbingan dan kaunseling adalah proses pendidikan. Ia juga merupakan proses yang dirancang dan berterusan.
2. Bimbingan dan kaunseling adalah untuk semua penuntut. Setiap penuntut mempunyai peluang bagi mendapat pertolongan tanpa mengira latar belakangnya dan tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.
3. Penuntut mempunyai hak untuk mendapatkan pertolongan apabila perlu.
4.Bimbingan dan kaunseling adalah untuk melayani keperluan-keperluan penuntut bagi perkembangan potensi-potensi dan kebolehannya.
5.Bimbingan dan kaunseling adalah untuk menolong penuntut memahami dirinya dan orang lain dengan mendalam, menjelajah tujuan-tujuan hidupnya dan menolong memilih dan merancang hidupnya dengan berkesan.
6. Bimbingan dan kaunseling adalah berorientasikan masa depan dan sekarang.
7.Bimbingan dan kaunseling menolong individu menyedari kelemahan-kelemahannya dan memberi fokus kepada kekuatan-kekuatannya,
8.Pembentukan individu dipengaruhi oleh keseluruhan pengalaman.
9.Bimbingan dan kaunseling adalah pengetahuan dan kesepaduan psikofizikal penuntut. Ini bermakna kesepaduan di antara perasaan, sikap, akal dan rohani.
10.Bimbingan dan kaunseling hendaklah dijalankan berdasarkan etika kaunseling yang baik. Mematuhi etika adalah untuk tujuan memelihara kebajikan supaya ia tidak dianiaya oleh yang menolongnya.

Namun menurut tugasan yang terbaru tugas Kaunselor dihadkan kepada lapan bidang seperti yang tertera di bawah iaitu Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling,Pengurusan dan Pentadbiran,Akademik,Kerjaya,Psikososial dan kesejahteraan mental,Kaunseling keibubapaan,Pembangunan diri, serta Pendidikan pencegahan dadah/rokok/inhalan dan HIV/AIDS
Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
Bidang Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling menghendaki kaunselor mengadakan sesi dengan pelajar .Antara corak perkhidmatan yang diberikan ialah Sesi Kaunseling Individu iaitu sesi yang melibatkan hanya kaunselor dan klien sahaja.Tujuannya adalah untuk membincangkan permasalahan individu serta membantu klien mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunseling individu lebih kepada perkara yang bersifat peribadi dan kerahsiaan.Oleh itu sebagai kaunselor adalah menjadi tanggungjawab baginya utnuk menjaga rahsia berkaitan cerita atau permasalahan klien yang diperbincangkan.
Bagi Sesi Kaunseling Kelompok pula ia melibatkan kaunseling yang melibatkan sejumlah pelajar yang mempunyai masalah yang sama atau hampir sama.Semasa sesi berlangsung kaunselor boleh memilih sama ada bertindak sebagai fasilitator iaitu membimbing kumpulan terbabit untuk mencapai matlamat yang hendak dicapai di penghujung sesi tersebut atau sebagai ahli dalam kumpulan tersebut.Semasa permulaan sesi kaunselor perlu menerangkan tentang kerahsiaan yang perlu dijaga oleh setiap ahli kelompok.

Seterusnya ialah Sesi Bimbingan Individu .Dalam hal ini kadang-kadang terdapat pelajar yang datang bertemu kaunselor hanyalah untuk mendapatkan bimbingan terutama ingin mengetahui cara belajar yang bereksan.Dalam hal ini ,kaunselor perlu menjalankan sesi bimbingan iaitu memberi tunjuk ajar secara terus kepada pelajar.

Demikian pula halnya dengan Sesi Bimbingan Kelompok iaitu beberapa orang pelajar yang datang bertemu kaunselor hanya untuk mendapatkan sedikit bimbingan dan pandangan bagaimana cara untuk mereka mengulangkaji sebagai contohnya sekumpulan peajar yang ingin meminta pandangan dan berbincang tentang bagaimana mereka hendak memulakan belajar dalam kumpulan.

Konsultasi pula melibatkan kaunselor dengan pihak luar.Ini berlaku apabila kaunselor mendapati ia kurang berkemahiran dalam sesuatu bidang yang diutarakan oleh klien.Maka,ia perlu mendapatkan nasihat pakar atau kaunselor lain atau pun merujuk kes berkenaan terus kepada pihak lain yang dipercayai mempunyai kepakaran dan dipercayai boleh membantu klien tersebut.Merujuk klien yang mempunyai kemurungan yang serius merupakan suatu bentuk konsultansi yang boleh dilakukan oleh kaunselor.

Pengurusan dan Pentadbiran
Seseorang kaunselor pada asasnya terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran.Uusan pentadbiran yang dimaksudkan adalah urusan dan pentadbiran yang berkaitan dengan bidang Bimbingan dan Kaunseling serta hubungannya dengan pihak pentadbir sekolah ataupun agensi luar.

Perkara yang termasuk dalam pengurusan antaranya ialah mengurus dan menyelia sistem fail.Dalam urusan ini kaunselor bertanggungjawab terhadap pengurusan segala jenis fail yang telah diwujudkan.Segala jenis fail hendaklah mempunyai nama dan siri nombor.Fail mestilah dalam keadaan yang terurus dan teratur bertujuan agar senang dicari bila fail itu dikehendaki.

Membuat sebaran berkenaan perkara yang berkaitan dengan bidang kaunseling.Ini bermaksud kaunselor perlu membuat sebaran seperti mengedarkan buletin,paparan ,poster,buku skrap berkenaan maklumat kerjaya,maklumat pendidikan dan latihan,maklumat dadah,bahaya rokok dan kesihatan dan jadual waktu perkhidmatan kepada para pelajar.Ini semua bertujuan untuk memaklumatkan pelajar agar mereka tahu akan kepentingan dan tugas Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.

Kaunselor juga dikehendaki menyediakan dan menyelenggara kertas kerja p dan menyediakan laporan program.Penyediaan kertas kerja program dan laporan program adalah menjadi suatu tanggungjawab kaunselor.Sebagai kaunselor yang juga merangkap Setiausaha Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah,maka adalah menjadi kewajipan baginya untuk menyediakan kertas kerja dan laporan aktiviti pada tiap kali aktiviti di bawah kelolaan Unit Bimbingan dan Kaunseling dijalankan.

Keceriaan bilik kaunseling begitu penting kerana bilik kaunseling perlulah selesa dan kondusif bagi menjamin suasana sesi kaunseling yang berlangsung adalah teraputik.Suasana yang teraputik hasil dari keindahan dan keceriaan bilik kaunseling sebenarnya mempengaruhi klien yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan.Suasana yang kondusif dipercayai akan mempercepatkan lagi proses ‘rawatan’ yang diberikan oleh kaunselor kepada kliennya.

Laporan dan rekod sesi perlu disediakan sebaik dan secepat mungkin agar kaunselor tidak tertinggal fakta-fakta penting semasa sesi berjalan.Penyediaan laporan sesi amat penting sebagai rujukan kepada kaunselor untuk sesi yang berikutnya.Namun begitu adalah perlu diingat bahawa segala laporan sesi adalah ‘SULIT ‘dan adalah menjadi suatu kesalahan jika ia terdedah atau diketahui oleh orang lain.Namun begitu bagi kes-kes yang melibatkan jenayah atau kes-kes yang terlalu berat ia boleh didedahkan dengan tujuan menyelamatkan klien atau orang yang ingin dicederakan oleh klien.

Penyediaan borang-borang perkhidmatan murid bagi kemudahan kaunselor menjalankan urusan pentadbiran.Kaunselor perlu menyediakan borang-borang tertentu bagi mengurus dan melancarkan lagi pengurusan Bimbingan dan kaunseling(Rujuk lampiran untuk borang yang disediakan).Borang yang disediakan mempunyai fungsi dan peranan tertentu.

Akademik

Seterusnya kaunselor bertanggungjawab untk membantu pelajar untuk mengetahui dan memahami kemahiran belajar yang meliputi kemahiran membaca dan mengambil nota,pengurusan masa,pengurusan diri,kemahiran mendengar, kemahiran mengingat,mengulangkaji,menjawab soalan peperiksaan dan menghadapi peperiksaan.

Mengumpul maklumat berkenaan peluang melanjutkan diri seleps Penilaian Menengah Rendah,Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.Pengumpulan maklumat ini adalah perlu agar para pelajar mendapat maklumat tentang ke mana hala tuju mereka selepas melepasi tahap-tahap tertentu.Syarat-syarat untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam atau swasta,tempat pengajian lain bagi pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat ke institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mereka yang tidak layak dan lain-lain peluang untuk pelajar melanjutkan pelajaran.Ini semuanya menjadi tanggungjawab kaunselor.
Tugas kaunselor seterusnya dalam bidang akademik tertumpu kepada Pemilihan mata pelajaran elektif.Sebagaimana yang semua maklumi bahawa apabila pelajar tamat PMR ,SPM atau STPM ,para pelajar terlibat dengan pemilihan mata pelajaran elektif.Untuk memilih mata pelajaran yang bersesuaian dengan minat dan tahap pencapaian para pelajar maka kaunselor menjadi tempat rujukan untuk mendapatkan maklumat tentang pemilihan mata pelajaran tersebut.Pada kebiasannnya pelajar akan bertemu kaunselor untuk mendapatkan gambaran tentang minat mereka dan mata pelajaran yang bersesuaian dengan minat dan pencapaian mereka sebelum mereka bertindak untuk mengambil keputusan.
Kaunselor juga berperanan dalam meningkatkan motivasi pelajar untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran.Tugas ini memang amat mencabar.Oleh itu kaunselor amat memerlukan kerjasama dari rakan guru yang lain. Kursus-kursus kesedaran diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran rasa kebertanggungjawapan pelajar terhadap kejayaan mereka sendiri.Sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kemahiran pelajar maka mereka akan didedahkan dengan beberapa ujian personaliti yang bertujuan untuk mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri.Kemahiran lain yang diajar kepada pelajar adalah mengurus diri,membina matlamat diri,mengenal pasti sumber belajar dan kemahiran belajar sokongan.
Kemahiran belajar seperti kemahiran membaca,membuat rujukan ,pengurusan masa,mencatat nota,memberikan konsentrasi,mendengar,mengingat,mengulang kaji,kumpulan belajar,dan teknik menjawab soalan peperiksaan serta peluang untuk menyambung pelajaran ataupun latihan.
Pengumpulan maklumat pelajaran dan latihan iaitu peluang pelajar bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi/institusi, latihan kemahiran Institusi pengajian tinggi awam dan swasta,Institusi latihan kemahiran awam dan swasta.Pengumpulan bahan ini amat perlu utnuk kegunaan kaunselor bagi menerangkan peluang yang bakal diperolehi oleh pelajar selepas tamat persekolahan menengah.Selain daripada itu kaunselor juga bertanggungjawab untuk menerangkan pembiayaan pendidikan iaitu sama ada biasiswa atau pinjaman serta penajaan oleh syarikat atau badan berkanun tertentu yang boleh diperolehi pelajar sekiranya mereka berjaya dengan keputusan yang cemerlang.
Kerjaya
Bidang kerjaya pula memerlukan kaunselor untuk membantu murid dalam membuat pemilihan cita-cita terhadap kerjaya pilihan secara pendedahan melalui pengumpulan maklumat kerjaya yang dilakukan oleh murid .Beberapa pertandingan yang diadakan di peringkat sekolah,daerah,negeri dan kebangsaan berkaitan kerjaya turut diadakan bagi membantu pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya pilihan.Antara pertandingan yang melibatkan kerjaya adalah Eksplorsai Alam Kerjaya,kain rentang kerjaya, dan poster kerjaya.Dengan dibimbing oleh kaunselor maka para pelajar akan berusaha untuk mendapatkan bahan bagi kegunaan mereka.

Psikososial dan kesejahteraan mental

Kaunselor bertanggung jawab untuk membantu pelajar bagi meningkatkan self esteem ,kerohanian,pengurusan tekanan, kemahiran komunikasi,kemahiran asertif yang boleh dilakukan melalui bimbingan kerjaya,penyertaan pelajar dalam kem bina insan, kem motivasi,perkhemahan ibadah dan kaunseling keluarga.Semua aktiviti yang dilakukan bertujuan untuk meningkatkan psikososial pelajar serta meningkatkan tahap kesejahteraan mental pelajar agar para pelajar dapat menyeimbangkan antara tuntutan kehidupan dan tuntutan untuk meneruskan pembelajaran di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi kelak.

Kaunseling keibubapaan

Tugasan ini memerlukan kaunselor untuk membantu ibu bapa dan keluarga dalam menyelesaikan masalah ponteng,kenakalan anak melalui lawatan ke rumah serta bimbingan individu.Melalui kaunseling keibubapaan ini kaunselor akan dapat mengetahui latar belakang keluarga kliennya serta dapat menyelidiki masalah klien dengan lebih dekat dan menyeluruh.Ini akan membantu kaunselor mendapatkan pandangan dan membantu ibu bapa untuk menyelesaikan masalah yang bersangkutan dengan anak mereka yang bermasalah.

Tugas membantu pelajar yang bermasalah bukanlah suatu tugas yang mudah kerana kebanyakan pelajar yang bermasalah datang dari keluarga yang bermasalah.Oleh itu,kaunselor perlu berhati-hati ketika menjalankan kaunseling keibubapaan agar ia tidak menyentuh isu-isu yang terlalu sensitif hingga boleh menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan ibu bapa.Justeru itu,tugas sebagai kaunseling keibubapaan merupakan suatu tugas yang sangat mencabar kerana kaunselor bukan sahaja berhadapan dengan pelajar tetapi ibu bapa dan seluruh ahli keluarga yang bermasalah.

Pembangunan diri

Membantu dan membimbing murid dalam menyelesaikan masalah diri sendiri dengan cara dan kaedah sendiri mengikut panduan yang telah diperbincangkan.Dalam hal ini ,para pelajar dibantu serta dibimbing bagaimana untuk menyelasaikan masalah diri sama ada yang berpunca dari diri sendiri atau pun persekitaran.Dalam hal memberi bantuan dan bimbingan ini, kaedah tertentu yang difikirkan perlu akan diberikan kepada pelajar agar ia dapat membebaskan dirinya daripada belenggu maslah yang dihadapinya.Kaedah yang diberikan tersebut pada dasarnya adalah mengikut kehendak dan keperluan pelajar yang memerlukannya kerana segala tindakan yang bakal dilakukan adalah tanggungjawab pelajar sendiri.

Pendidikan pencegahan dadah/rokok/inhalan dan HIV/AIDS
Membantu murid agar berupaya berkata tidak serta mengenal dan menjauhi kepada rokok dan dadah.Dalam hal ini,pelajar akan diberikan info berkaitan dengan dadah,rokok,inhalan dan HIV AIDS.Maklumat yang diberikan akan menggambarkan perkara yang buruk jika pelajar mendekatinya.Kaunselor juga akan memberikan maklumat kepada pelajar mengenai kegiatan dadah di Malaysia serta akibat buruk daripada mengedar ataupun menghisap dadah.

Kaunselor akan menjadi orang perantara dengan agensi luar yang berkaitan dengan aktiviti pencegahan dadah,rokok,inhalan dan HIV AIDS.Melalui kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) pelajar akan didedahkan dengan bahaya pengambilan dadah dan pengujian air kencing boleh dilakukan oleh AADK.

Perkongsian maklumat dengan badan pencegahan dadah yang lain seperti PEMADAM ,Kementerian Kesihatan dan lain-lain agensi yang berkaitan adalah di bawah tanggungjawab kaunselor.

Kaunselor juga boleh melibatkan pelajar dengan program-program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri serta Kementerian dengan mengambil bahagiann dalam acara-acara yang dipertandingkan di setiap peringkat seperti pertandingan melukis poster,melukis kain rentang dan lain-lain lagi.

PERANAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING DALAM MENANGANI MASALAH DISIPLIN PELAJAR DI SEKOLAH.


Peranan yang boleh dimainkan sebagai seorang kaunselor mestilah berlandaskan ilmu pengetahuan berkenaan bimbingan dan kaunseling yang tepat supaya mampu menangani masalah di sekolah dan berjaya menghidupkan
fungsi sebenar bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah. American
School Counselor Association (ASCA) telah menggariskan tanggungjawab
profesional kaunselor sekolah seperti berikut.

Menolong pelajar untuk memahami dirinya dalam hubungannya dengan dunia sosial dan psikologi di tempat dia berada.Ia juga membawa maksud seseorang kaunselor berperanan membantu pelajar agar pelajar mampu mengenali siapa dirinya yang sebenar serta dapat membuat hubungan yang bermakna dengan dunia sekelilngnya dari sudut sosialisasi dan psikologi di mana ia berada.Tugas kaunselor yang terpenting ialah membantu klien mencari dan memahami sikap,minat ,bakat serta kebolehan yang ada pada diri klien untuk berkembang dengan baik,memahami serta peluang-peluang yang dimiliki oleh klien hasil daripada perbincangannya dengan kaunselor untuk proses ke arah mencapai kesempurnaan kendiri serta hubungan antara kesemua unsur yang telah dinyatakan semata-mata untuk mencari keseimbangan kendiri sebagaimana yang diingini selaras dengan tuntutan agama dan masyarakat.

Menolong pelajar untuk bertingkahlaku yang sesuai dengan bakat,minat,
sikap, kebolehan dan peluang untuk penyempurnaan kendiri. Kaunselor juga berperanan untuk membantu pelajar agar dapat membuat persediaan yang bersesuaian dengan minat dan bakat serta kebolehan yang dipunyai.Ini penting agar segala tidakan yang bakal dilakukan oleh murid adalah selaras dengan apa yang diingininya agar ia berpeluang untuk mencapai matlamat hidupnya miaitu ke arah penyempurnaan kendiri.Contoh jika kita ambil dari sudut minat dan cita-cita seseorang pelajar yang inginkan dan mempunyai kecenderungan ke arah menjadi seorang saintis,maka kaunselor berperanan untuk memberikan panduan dan beberapa cadangan yang bersesuaian dengan minat dan memberikan panduan tentang mata pelajaran yang pentng yang wajib dikuasai oleh seseorang pelajar jika pelajar tersebut ingin mencapai cita-citanya.Maka,kaunselor harus berperanan untuk membantu dan membimbing murid ke arah penyempurnaan kendiri berdasarkan apa yang diingini oleh pelajar.

Menolong pelajar mencapai keperluan untuk mengembangkan
keupayaan membuat keputusan sendiri. Dalam perkara ini,seseorang kaunselor perlu membimbing pelajar untuk mencapai ke arah berani berdikari dengan mengambil risiko dan sanggup bertanggungjawab terhadapa apa yang difikirkannya dan apa sahaja keputusan yang bakal diambilnya.Perkara ii akan menjadikan seseorang pelajar itu tidak akan teragak-agak dalam membuat keputusan yang peting dalam hidupnya sendiri.

Membantu semua kakitangan sekolah untuk memahami perlunya orang
perseorangan dan memberi maklumat tambahan dan bantuan perundingan
bertujuan untuk membantu supaya lebih memahami lagi tentang pelajar. Seseorang kaunselor berperanan membantu bukan sahaj pelajar tetapi melibatkan keseluruhan organisasi sekolah untuk mereka memahami akan keperluan terhadap keperluan persendirian dan hak-hak yang dipunyai oleh seseorang pelajar untuk dihormati.Ini merupakan suatu perkara penting agar pihak sekolah terutamanya pentadbir dan guru-guru serta kakitangan sekolah yang lain mengetahui bahawa para pelajar mempunyai hak untuk mendapat khidmat bimbingan dan kaunseling daripada kaunselor sekiranya mereka ingin berbuat demikian dan juga kaunselor juga mempunyai hak untuk memanggil pelajar yang bermasalah untuk mendapatkan khidmat kepakaran kaunsleling.

Menentukan atau memastikan pengaruh program sekolah ke atas
pelajaran perkembangan psikososial pelajar dan menyampaikan maklumat
untuk kakitangan lain.Kaunselor berperanan dan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap program sekolah yang dilaksanakan mendatangkan faedah yang besar kepada pelajar dari sudut perkembangan psikososial.Ini menunjukkan bahawa setiap program yang dijalankan perlukan penelitian yang bersungguh-sungguh daripada kaunselor bermula dari tahap perancangan hinggalah ke tahap perlaksanaan program.Dan penelitian ini tidak terhenti di sini sahaja malahan pemantauan terhadap perkembangan pelajar perlu diajalnakn dari semasa ke semasa bagi memastika para pelajar menadapat faedah daripada program yang telah dilaksanakan sama ada di peringkat sekolah,daerah,negeri atau kebangsaan.

Memberitahu pihak pentadbiran tentang perubahan-¬perubahan yang signifikan di sekolah yang memberi kesan dengan perkembangan program yang berkaitan. Selain memastikan dan menentukan perubahan pelajar berjaya kaunselor juga perlu melaporkan kepada pihak sekolah akan perkembangan yang diperolehi hasil daripada program yang telah dijalankan.Laporan ini perlu dimaklumkan terutamanya kepada pihak pentadbiran agar mereka maklum akan situasi pelajar di sekolah berkenaan.

Membantu ibu bapa untuk memahami kemajuan pengembangan anaknya, keperluan¬-keperluannya dan peluang¬-peluang lain di persekitarannya dengan tujuan untuk menambahkan kebolehan,memberikan sumbangan kepada perkembangan anak mereka sendiri. Kaunselor berperanan besar utnuk membantu ibu bapa untuk mereka mengetahui kemajuan perkembangan anaknya terutama dari segi sikap dan akademik,keperluan-keperluan yang diperlukan oleh anak-anak mereka untuk mencapai kejayaan yang bermakna serta membantu ibu bapa mendapatkan gambaran akan peluanyang -pelunag yang bakal diperolehi sekiranya anak mereka berjaya kelak.Memahami kemajuan perkembangan anak,keperluan dan peluang perlu diperjelaskan kepada ibu bapa agar mereka tahu akan perihal anak mereka secara lebih dekat dan dengan ini mereka akan lebih berminat untuk membantu anak mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang sama ada dari segi kejayaan dalam peperiksaan atau perubahan sikap .

Membuat interpretasi kepada komuniti pentingnya hal bertimbang rasa
untuk individu dan memberi sumbangan kepada program kaunseling sekolah.
Kaunselor perlu membuat interpretasi terutama kepada komuniti perihal pentingnya sikap bertimbang rasa untuk inividu agar ia dapat memberikan sumbangan kepada program kaunseling yang dijalankan di sekolah.Dalam hal ini, komuniti perlu dimaklumkan bahawa sikap bertimbang rasa yang wujud dalam diri individu merupakan perkara terpenting untuk merealisasikan dan memrikan sumbangan kepada kaunsleing di sekolah.

Membantu melancarkan di dalam masyarakat peluang-peluang
lain yang perlu untuk perkembangan pelajar.Seseorang kaunsleor perlu memperjelaskan kepada masyarakat berkenaan peluang-peluang yang perlu diperolehi oleh seseorang pelajar.Ia juga berperanan untuk melancarkan peluang-peluang yang perlu dimilik oleh pelajar untuk mereka mencapai kejayaan yang cemerlang.Karnival kerjaya,karnival sains dan pelbagai lagi karnival anjuran pihak luar seharusnya dijadikan tempat untuk pelajar mendapatkan maklumat berkenaan minat dan kecenderungan masing-masing.Melalui karnival ini,para pelajar sebenarnya didedahkan secara tidak langsung berkenaan apa yang bakal mereka perolehi sekiranya mereka berjaya dalam pelajaran nanti.Selain daripada itu,program ajuran pihak luar ini pada kebiasaannya melibatkan umum,jadi kaunselor berperanan untuk mengumumkan bahan tersebut kepada para ibu bapa dan masyarakat agar merek afaham dan seterusnya dapat membantu anak mereka untuk mencapai kejayaan.

Mengguna atau membantu melancarkan rekabentuk sumber¬-sumber masyarakat bagi memenuhi segala keperluan penuntut yang ekstrem
atau yang tidak lazim serta luar tanggungjawab sekolah.

Mengadakan hubungan yang baik dengan semua pihak seperti Polis,
Jabatan-¬jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat
LPPKN, Pejabat Agama Islam, Yayasan Pembangunan Keluarga dan lain¬-lain.Hubungan yang baik dengan agensi luar sebenarnya memudahkan lagi kaunselor utnuk mendapatkan maklumat berkenaan bukan sahaja peluang-peluang yang bakal diperolehi pelajar tetapi juga dapat menjaminkan para pelajar mendapatkan maklumat terkini berkenaan sesuatu agensi.Mendedahkan pelajar tentang peranan yang boleh dimainkan oleh sesuatu agensi membolehkan pelajar merebut peluang yang ditawarkan oleh sesuatu agensi tersebut.Perlu diingat,dengan mengadakan hubungan yang baik dengan pelbagai agensi akan memudahkan lagi tugas kaunselor kerana kauselor dan pihak sekolahtidak akan mampu untuk menangani segala permasalahan secara bersendrian.

Kehadiran kaunselor di sekolah-sekolah dijangkakan dapat menangani masalah pelajar kerana mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajar. Sebelum ini guru ‘biasa’ ditugaskan sebagai kaunselor secara tidak langsung. Beban tugas mengajar tidak dapat memberi peluang kepada guru untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada pelajar yang bermasalah. Kehadiran kaunselor di sekolah amat penting kerana selain daripada menyelesaikan setiap permasalahan pelajar malah beritndak membentuk generasi yang berketrampilan dalam apa jua bidang yang diceburi di samping mengenali hakikat diri mereka.(Dipetik daripada http://www.sabah.edu.my/smk.tfuads.klu/bimbingankaunseling.htm)

Masalah disiplin yang kian menjadi-jadi dewasa ini, pihak kementerian pendidikan tidak berdiam diri malah telah mengambil berbagai-bagai langkah untuk mengatasinya. Antaranya program penting telah diambil ialah mewajibkan tiap-tiap buah sekolah mengadakan unit kaunseling untuk membantu pelajar yang bermasalah. Menurut menteri Pendidikan , Dato’ Seri Najib Tun Razak (1996), pada awal tahun 1996 kementerian pendidikan telah mengarahkan tiap-tiap buah sekolah di Malaysia menempatkan sekurang-kurangnya dua orang kaunselor sepenuh masa bagi menangani masalah pelajar tidak hanya dari sudut akademik malah termasuk masalah peribadi pelajar. Kaunselor perlu prihatin dan peka terhadap setiap masalah pelajar.

Dasar kerajaan meletakkan Guru Bimbingan Dan Kaunseling sebagai Guru Bimbingan Dan Kaunseling Sepenuh Masa membuktikan bahawa kerajaan menaruh harapan yang tinggi kepada institusi persekolahan amnya dan Unit Bimbingan Dan Kaunsleing di sekolah khususnya agar memainkan peranan yang besar terutama dalam menangani kegawatan sosial yang begitu ketara dewasa ini.

Justeru itulah, guru Bimbingan dan Kaunseling berkewajipan untuk melaksanakan hasrat ini dengan penuh rasa bertanggungjawab.Dengan ini juga membuktikan bahawa peranan guru kaunseling sebagai struktur sokongan sekolah tidak boleh diabaikan.Antara peranan yang boleh dimainkan ialah Guru Bimbingan Dan Kaunseling atau Kaunselor ialah seseorang kaunselor perlu mengadakan sesi kaunseling dengan sebaik mungkin semata-mata untuk membantu pelajar menangani masalah yang dihadapi.Ini penting kerana dengan membantu pelajar mengurangkan masalahnya maka pelajar tersebut akan menjadi lebih stabil terutama dari segi emosinya.Apabila kestabilan emosi wujud maka tingkahlaku yang sepatutnya akan dapat dilihat.

Sebagai seorang kaunselor sepenuh masa ,maka ia berperanan penting dalam mengadakan sesi bimbingan dan kaunseling dengan para pelajar yang menghadapai masalah.Di dalam sesi tersebut seseorang kaunselor itu akan membincangkan keperluan murid dari pelbagai segi seperti kemahiran sosial,kemahiran menyelesaikan masalah,kemahiran membuat keputusan dan pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh pelajar.(Nazmi Hj Mohd Noor,1998).

Sesi bimbingan dan Kaunseling tidak seharusnya dihadkan kepada pelajar sahaja kerana ia meliputi keseluruhan sistem persekolahan.Ini juga bermakna klien yang diterima bukan sekadar pelajar tetapi ia juga merangkumi keseluruhan warga sekolah termasuk juga guru-guru dan staf sokongan sekolah selain daripada ibu bapa.Untuk itu,seseorang kaunselor perlu peka akan sebarang permasalahan yang timbul adakah ia berpunca daripada pelajar sendiri atau pun dari punca yang lain.Sekiranya ada guru atau kakitangan sekolah yang memerlukan khidmat kaunsleing maka kaunselor perlau menerima dan berusaha membantu menyelesaikan masalah klien tersebut.Ini amat penting kerana permasalahan yang wujud di kalangan guru-guru atau kakitangan sekolah sedikit sebayak akan mempengaruhi iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.Permasalahan ini jika tidak diselesaikan akan menyebabkan pelajar menjadi mangsa guru.Apabila pelajar menjadi mangsa ,maka akan wujud perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar terhadap guru yang seterusnya akan mewujudkan kekecohan dalam sistem persekolahan tersebut.Maka atas dasar inilah ,maka kaunselor harus berperanan membantu guru-guru dan kakitangan sekolah untuk memnyelesaikan permasalahan diri mereka terlebih dahulu.

Kaunselor perlu mengadakan pelbagai program untuk memenuhi masa ruang para pelajar terutama pada waktu cuti penggal dan setelah tamat peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Ssekolah Rendah,Penilaian Menengah Rendah ,Sijil Peperiksaan Malaysia dan Sijil Tinggi Perekolahan Malaysia . Perkara ini amat penting kerana pada kebiasannya para pelajar yang agak lemah tidak mempunyai apa-apa program.Mereka lebih suka merayau dan melepak bersama rakan-rakan.Dan sudah tentulah akan timbul gejala-gejala negatif di kalangan mereka.Justeru itu,kaunselor harus memainkan peranan dalam mengisi ruang masa yang wujud di kalangan pelajar dengan mengadakan pelbagai program seperti perkhemahan ,kem motivasi ,bengkel-bengkel dan lain-lain yang difikirkan perlu.Ini penting agar masa yang terluang di kalangan pelajar tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya mengikut nilai-nilai yang diterima oleh agama dan masyarakatnya.







BIBLIOGRAFI


Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim et. al. Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling,Percetakan Naz Sdn . Bhd. Kuala Lumpur.

Nazmi b Hj Mohd. Noor,Kertas Projek Sarjana Sains ( Pengurusan )UUM,Sintok,Julai 1998.

_____Rekod Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling,Kementerian Pelajaran Malaysia,Percetakan Nasional Berhad.
http://www.eprints.uum.edu.my/1742/.
http://www.sabah.edu.my/smk.tfuads.klu/bimbingankaunseling.

1 comment:

Anonymous said...

great reading!

cikgu rahman, bangi.